Bayern julang Piala Jerman pada aksi terakhir Guardiola.


BERLIN: Pep Guardiola meraikan kemenangan dramatik di pentas final sebagai pengurus Bayern Munich, awal pagi tadi selepas skuad bimbingannya menewaskan Borussia Dortmund menerusi penentuan penalti untuk menjulang trofi Liga Jerman.

Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan gol sepanjang 120 minit perlawanan yang kemudian menyaksikan Dortmund gagal menyempurnakan dua penalti untuk mengesahkan kemenangan Bayern.

Ia sekali gus menghadiahkan Guardiola gelaran ketujuhnya dan terakhirnya di Jerman sebelum berpindah ke Manchester City, musim depan.

Guardiola yang tidak dikenali sebagai pengurus yang beremosi di Munich gagal mengawal perasaannya dan menangis ketika kelab itu meraikan kejayaan berganda domestik itu.

"Apa saja boleh berlaku dalam penentuan penalti, jadi kami amat gembira," kata Guardiola kepada Sky selepas perlawanan itu.

"Tiga tahun di kelab ini adalah menakjubkan. Saya akan pasti amat merindui pemain-pemain ini."

Penyerang Bayern, Thomas Mueller menambah: "Ia perlawanan yang tegang. Penalti sentiasa sesuatu yang tidak menyenangkan untuk menamatkan perlawanan, namun saya fikir kami layak untuk menang hari ini."

Selain Guardiola, ia adalah malam penuh emosi buat kapten Dortmund, Mats Hummels yang akan berpindah ke Bayern, musim depan selepas lapan tahun bersama kelab itu. - AFP

Share on Google Plus